George Town, Dis-
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy disiasat susulan aduan mengenai dakwaan amalan rasuah dalam perolehan sebuah pedati emas oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) untuk Thaipusam kira-kira lima tahun lalu, kata sumber.
Ramasamy yang juga pengerusi PHEB dari 2010 hingga 2023, dilarang meninggalkan Malaysia oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam, selepas dimaklumkan beliau disenarai hitam atas “arahan” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber SPRM memberitahu FMT, agensi itu menerima aduan beberapa bulan lalu mendakwa pedati berkenaan bukan emas tulen seperti didakwa dan aduan itu mengenai dakwaan penyelewengan membabitkan PHEB, yang memiliki pedati terbabit.
Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, ia perkara “sangat biasa” untuk mengeluarkan larangan perjalanan terhadap individu disiasat kerana bekas pengarah eksekutif dan CEO PHEB, M. Ramachandran turut disiasat.
“Kami terima aduan bahawa PHEB, ketika zaman Ramasamy dan Ramachandran, membayar lebih untuk pedati itu sedangkan mereka dibekalkan dengan bahan berkualiti sangat rendah tidak mengikut spesifikasi.
”Semalam, Ramasamy memberitahu FMT, beliau menafikan dakwaan itu dan ketua audit negara meneliti akaun PHEB.
Katanya, pedati itu yang dibeli pada 2019 dan kedua seumpamanya disalut emas, bukannya emas padu.
“Untuk kata ia diperbuat daripada bahan substandard adalah mengelirukan. Ia bersalut emas, yang secara semula jadinya melibatkan penggunaan logam lain.”
Kos pedati itu kira-kira RM800,000, menurut Ramasamy yang berkata projek berkenaan diberikan melalui tender terbuka membabitkan tiga kontraktor – dua dari India dan satu lagi tempatan.
Beliau berkata, selepas penilaian oleh lembaga PHEB, kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat dari India yang meminta bayaran tunai.
Katanya, kira-kira RM400,000 dibayar secara tunai kepada kontraktor itu, manakala baki digunakan untuk perbelanjaan projek lain seperti kos penghantaran bahan dari India.
Menurutnya, semua bayaran diluluskan lembaga PHEB dan dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan, khasnya ketua audit negara memandangkan lembaga itu di bawah bidang kuasa persekutuan.
“Kami ikut semua prosedur. PHEB diaudit setiap tahun oleh pejabat ketua audit negara dan laporan kami dibentangkan kepada Parlimen, bukannya Dewan Undangan Negeri.”




















