Kulai, Dis-
Kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer (KM) 37.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dengan sebuah daripada kenderaan berat itu terbalik, menyebabkan trafik sesak lebih lima kilometer pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata nahas itu membabitkan lori jenis Nissan dan Scania dari arah sama.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun dari arah utara menghala ke selatan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang lori Scania yang dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Akibat perlanggaran itu, lori Nissan berkenaan terbalik melintang di kedua-dua lorong kiri dan kanan lebuh raya. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori itu hanya cedera ringan di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.