BUNUH DIRI BUKAN JALAN PENYELESAIAN

Buli siber telah menjadi isu yang semakin meluas dan sering kita dengar atau lihat dalam kehidupan seharian, sama ada di media sosial atau berita. Fenomena ini berlaku dengan pantas kerana teknologi membolehkan sesiapa sahaja menyebarkan komen negatif, fitnah, atau mengaibkan orang lain hanya dengan satu klik.

Namun, bunuh diri bukan satu jalan penyelesaian, kata Thilagavathy, seorang mangsa buli siber. Menurutnya, walaupun tekanan akibat buli siber begitu memeritkan dan seakan tiada jalan keluar, mencari sokongan daripada keluarga, rakan, atau pihak profesional dapat membantu seseorang untuk bangkit semula.

Thilagawathy turut berkongsi pengalaman peritnya apabila dia menghadiri sesi temuduga di sebuah syarikat terkenal. “Suami saya turut menemani saya pada hari tersebut,” katanya. Namun, apa yang berlaku selepas itu benar-benar mengejutkan dan menyakitkan hatinya.

“Beberapa jam selepas saya keluar dari sesi temu duga, banyak ‘post’ dan komen-komen fitnah tentang saya mula muncul di media sosial,” ujar Thilagavathy. Fitnah tersebut tersebar dengan begitu cepat sehingga ramai yang mengenalinya, dari Johor hingga Pulau Pinang, mula menelefon untuk bertanyakan tentang fitnah berkenaan.

Thilagawathy dengan nada hiba mendedahkan bagaimana pengalaman pahit itu telah memberi kesan mendalam bukan hanya kepada dirinya, tetapi juga kepada keluarga dan saudara terdekatnya.

“Buli siber memberi kesan besar terhadap mental dan emosi, tetapi membiarkan pembuli menang dengan mengambil nyawa sendiri bukanlah jawapannya,” ujarnya. Thilagawathy menekankan bahawa mangsa buli harus berani bersuara, melaporkan perbuatan tersebut, dan mendapatkan bantuan agar mereka tidak terus merasa keseorangan.

Katanya lagi, masyarakat perlu memainkan peranan dalam menghentikan budaya buli ini dengan tidak menyokong atau menyebarkan kandungan negatif. Setiap individu bertanggung jawab untuk menggunakan media sosial secara bijak dan beretika.

“Hidup ini terlalu berharga untuk dikorbankan kerana perbuatan orang lain. Jangan biarkan kata-kata mereka mematahkan semangat kita. Sentiasa ingat, kita tidak keseorangan,” tambah Thilagavathy dengan penuh harapan.

Sementara itu, Vatsala, seorang aktivis anti-keganasan dan perunding dalam isu keganasan berasaskan gender, menegaskan bahawa buli siber harus dibendung dengan segera. Dalam perbualannya bersama kami, beliau menyatakan bahawa fenomena ini bukan sahaja memalukan dan merendahkan maruah mangsa.

Menurutnya, kedua-dua lelaki dan wanita terdedah kepada buli siber, tetapi secara proporsional, wanita merupakan golongan yang paling terjejas.

“Wanita yang menjadi mangsa buli siber bukan sahaja berhadapan dengan tekanan mental yang serius, tetapi mereka juga sering hilang keberanian untuk mempertahankan diri kerana rasa malu dan takut.“Kita perlu berhenti menyalahkan mangsa dan sebaliknya mengalihkan fokus kepada pelaku dan perbuatan mereka. Wanita perlu diberi kekuatan, ruang, dan sokongan untuk bangkit semula.”, katanya lagi.

Vatsala menyeru kepada semua wanita untuk menyedari bahawa hidup ini adalah untuk hidup dengan sepenuhnya. Penting untuk wanita memahami bahawa mereka berhak untuk hidup dengan bebas tanpa rasa takut atau ancaman dari mana-mana pihak. Vatsala mengajak wanita untuk kuat dan berani menghadapi cabaran hidup, serta menjaga dan melindungi hak-hak mereka dalam dunia digital yang semakin berkembang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here