Melaka, Dis-
Dua lelaki merompak sebuah kedai emas di pusat beli-belah terkenal di Banda Hilir di sini petang semalam.
Menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang tular menunjukkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang memaparkan dua lelaki bertopeng memasuki premis di tingkat bawah bangunan itu.
Berdasarkan video berdurasi 1.21 saat, terdapat dua pekerja wanita kedai emas terbabit dan suspek kelihatan cuba menghampiri mereka.
Suspek dipercayai menunjukkan senjata yang disembunyikan di dalam jaket untuk menakut-nakutkan pekerja dan meminta mereka menyerahkan barang kemas yang dipamerkan di kaunter, namun kedua-dua pekerja hanya mampu mundar-mandir dalam ketakutan.
Selang beberapa saat, seorang daripada suspek mencapai barang kemas berkenaan dari luar kaunter sebelum melompat memasuki kaunter untuk melarikan lebih banyak barang kemas.
Pekerja yang ketakutan hanya mampu mengelak daripada dicederakan sebelum kedua-dua suspek lari meninggalkan premis berkenaan.