Kuala Lumpur, Jan-
Had laju di semua jalan persekutuan diturunkan daripada 90km/j kepada 80km/j bermula 28 Jan hingga 2 Feb bagi meminimumkan risiko kemalangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Beliau turut mengarahkan semua kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan sementara supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi masing-masing.
“Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya. Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, Op Bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa seperti polis, Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan terus dilaksanakan sepanjang enam hari berkenaan.





















