Ipoh, Feb –
Seorang anggota tentera ditahan selepas didapati memiliki lebih 10 laras senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Kem Syed Putra dekat Jalan Tambun di sini pada Selasa.
Penahanan anggota berusia 34 tahun dari Pasukan 2 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja itu dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar jam 12.30 malam.
Difahamkan, anggota tersebut bersiaran secara langsung melalui aplikasi TikTok mempromosikan dan menjual beberapa peralatan iaitu senjata tiruan.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak dua tahun lalu dengan memperoleh peralatan melalui ejen di Pahang.
Menurutnya, turut dijumpai, empat unit busur silang (crossbow), enam jenis anak panah dengan setiap jenis mempunyai lima anak panah dan 300 biji bebola galas (ball bearing).
“Semakan mendapati, lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga adalah negatif dadah.
“Tempoh reman telah diperoleh selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.


















