48,000 ayam mati terbakar
Jitra, Feb-
Kira-kira 48,000 ayam mati dalam kebakaran bangunan dua tingkat di ladang ternakan di Jalan Guar Napai, Kampung Paya Muyud, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 11.01 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra dan dibantu BBP Bukit Kayu Hitam serta BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Pinang, PBS Seberang Nyonya, PBS Pokok Sena, PBS Jalan Kundur dan PBS Kilang Tebu serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kebakaran membabitkan bangunan dua tingkat yang beroperasi sebagai tempat penternakan ayam.
“Difahamkan, sebanyak 48,000 daripada 50,000 ayam diternak di situ mati terbakar. Kemusnahan dalam kebakaran itu dianggarkan 80 peratus dan api dapat dikawal pada jam 12.46 tengah malam.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam lokasi kejadian.
“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.