Pontian, Feb-
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor melalui Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) seorang kru kapal dagang disyaki terjatuh ke dalam laut kira-kira 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Bin, Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, berkata kejadian dipercayai berlaku sewaktu kapal dagang berkenaan yang berdaftar dari Marshall Islands berlepas dari Pelabuhan Tanjung Pelepas menuju ke Singapura pada hari kejadian.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Sandeep berusia 36 tahun warganegara India dan kali terakhir dilihat pada jam 7.30 malam dengan berpakaian berwarna jingga.
“Op Carilamat diaktifkan di sekitar lokasi perairan Tanjung Bin dengan kekuatan seramai 44 anggota dan dengan lima aset laut serta lima aset darat milik Maritim Malaysia.
“Selain itu, operasi dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta bot Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamal Azri berkata, pihak MRCC Putrajaya juga sudah menghubung dengan pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia serta pihak berkuasa Singapura sekiranya mangsa dijumpai di sekitar perairan negara jiran.





















