Kuala Lumpur, Mac-
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa mempersenda atau menghina agama lain adalah perbuatan dilarang dalam agama Islam.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, perbuatan itu juga tidak beretika serta boleh menjejaskan keharmonian sosial.
Katanya, setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya dan sebagai masyarakat majmuk, kita perlu saling menghormati dan memahami kepelbagaian ini sebagai kekuatan yang menyatukan dan bukan memecahbelahkan.
“IKIM menasihatkan setiap individu perlu memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya. “Menghormati kepercayaan orang lain adalah asas kepada kehidupan yang harmoni.
“Dalam era digital, media sosial menjadi platform utama untuk berinteraksi, berkongsi maklumat, dan menyuarakan pendapat.
“Namun, kebebasan ini perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan yang tinggi, terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan sensitiviti agama dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai isu tiga penyampai radio 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani yang dipercayai menyinggung perasaan penganut Hindu menerusi video kontroversi mempersenda tarian kavadi iaitu upacara suci penganut itu ketika Thaipusam.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.





















