.Kuala Lumpur, Mac-
Polis masih menunggu arahan pejabat Peguam Negara berhubung siasatan ke atas pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa menghina agama Hindu.
Ia susulan susulan laporan polis dibuat pelbagai pihak ke atasnya baru-baru ini, dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan sehingga kini 894 laporan polis diterima ke atas Zamri Vinoth.
“Proses rakaman percakapannya juga sudah dilakukan dan kertas siasatan juga sudah diserah ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan masih dalam kajian pihak AGC. Setakat ini, belum ada arahan lanjut,” katanya. Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata kertas siasatan membabitkan penyampai radio Era FM juga masih dalam kajian pihak AGC.
“Setakat ini, kita belum menerima arahan selanjutnya,” katanya. Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung video kontroversi yang tular di media sosial membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda satu perayaan agama baru-baru ini.