Tagkak, Apr-
Seorang lelaki maut, manakala isterinya cedera apabila lori dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi lori di Kilometer 170, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun maut di tempat kejadian apabila tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isterinya dirawat di Hospital Tangkak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu mangsa gagal dikawal lalu merempuh lori di hadapannya.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johairi Sameon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 pagi dan bergegas ke lokasi.Katanya, terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan itu dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.
“Mangsa lelaki dan wanita berusia 34 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang, manakala seorang lagi mangsa lelaki masih belum diketahui identitinya terselamat.




















