George Town, Mei-
Seorang lelaki maut selepas melepaskan tembakan ke arah polis dalam satu kejadian di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas pada awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang sedang menjalankan operasi cegah jenayah sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis BMW dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika pasukan polis menghampiri kenderaan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis, suspek tiba-tiba keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.
“Pasukan polis kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan lanjut, suspek disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi turut menemukan pelbagai barang antaranya sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, sebatang besi, dua batang kayu rotan dan dua bilah parang.
“Polis juga menemui 15 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, anggaran berat 22.5 gram dan satu alat disyaki digunakan sebagai pengacau isyarat atau jammer signal.
“Turut ditemui, pelbagai jenis pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah,” ujarnya.
Katanya lagi, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 35 tahun serta mempunyai 19 rekod jenayah lampau dan 15 kesalahan lampau berkaitan narkotik.
“Beberapa tangkapan berasingan turut dibuat ke atas tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga tempatan yang disyaki terlibat dengan suspek dalam aktiviti jenayah.





















