Kuala Lumpur, Julai –
Remaja Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang di Malaysia, dipercayai menaiki bas ke KL Sentral setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun lalu
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata remaja berkenaan dipercayai keluar dari KLIA dan menaiki bas menuju ibu negara.
Setakat ini, katanya, polis tidak dapat memastikan tujuan sebenar Balisong ke Malaysia manakala pihak konsulat memaklumkan nombor telefon bimbit remaja berkenaan tidak dapat dihubungi sehingga kini.
“Semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada pergerakan keluar dari Malaysia membabitkan remaja itu.
“Ibunya belum dapat dihubungi dan dikatakan akan tiba ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Imigresen mengesahkan kemasukan Balisong itu pada 7 Jun lalu melalui KLIA.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata, pihaknya percaya remaja berkenaan masih berada di Malaysia.
Remaja warga Britain itu dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga, bulan lalu.
Balisong dari Cheadle, Greater Manchester, dikatakan ada memberitahu adiknya akan keluar awal untuk ke sekolah kerana menduduki peperiksaan GCE A-Level, 6 Jun lalu.





















