Putrajaya, Ogos-
Orang ramai diingatkan supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa sepanjang persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2025, bermula Isnin depan hingga 31 Ogos di Dataran Putrajaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata Putrajaya juga kawasan larangan menerbangkan dron dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi arahan.
Tindakan itu selaras dengan peruntukan Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (MCAR) 2016 dan Seksyen 206 (3) MCAR) 2016.
“Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan melaksanakan tembakan meriam sempena sambutan berkenaan pada hari raptai penuh dah hari acara. “Sesi raptai penuh di Lot 3C1 Presint 3 (tapak bazar Ramadan Putrajaya) pada jam 8 pagi 29 Ogos ini membabitkan dua das tembakan, manakala hari acara di lokasi sama pada 8 pagi, 31 Ogos sebanyak 14 das tembakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan penduduk Putrajaya supaya tidak panik atau cemas apabila terdengar tembakan meriam yang menjadi antara pengisian dalam majlis sambutan berkenaan. Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sekiranya mahu menghadiri sambutan berkenaan.





















