Seremban, Sep-
Polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan yang disyaki terlibat kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan pecah rumah dekat sini membabitkan kerugian berjumlah RM70,000 sekitar Jun dan Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kesemua individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan dalam operasi kira-kira dua jam di Bukit Pelandok, Port Dickson dan Ampang, Selangor pada 26 Ogos lepas.
“Semakan rekod mendapati kesemua suspek lelaki mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah melalui tingkap dengan mengumpil, sebelum menyerang mangsa menggunakan parang dan merompak barangan berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.




















