Pukul anak guna penyangkut baju – Bapa didenda RM8,000

Kuala Lumpur, Okt-
Seorang tukang paip didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memukul anak perempuannya yang berusia 11 tahun menggunakan penyangkut baju hanya kerana mangsa tidak mencuci pinggan dan membersihkan dapur.

Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak itu melarikan diri dari rumah mereka di Taman Metropolitan Kepong bagi menyelamatkan diri.

Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan tertuduh, 42, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM1,000 serta seorang penjamin, selain diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan menaiki kerusi roda dan duduk di kandang tertuduh, merayu hukuman diringankan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun 10 bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, kira-kira jam 2 petang pada 3 Oktober lalu di kediaman mereka di Taman Metropolitan Kepong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here