Lelaki ditahan bersama syabu RM2.4 juta di plaza tol

Alor Setarm Dis-
Seorang lelaki yang bertindak sebagai transporter tidak sempat membawa 75 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM2.4 juta dari Perlis ke Pulau Pinang apabila ditahan polis di Plaza Tol Hutan Kampung, di sini, awal pagi semalam.

Suspek warga tempatan berusia 48 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan menetap di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kedah ketika sedang memandu pikap jenis Ford Ranger seorang diri jam 5 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata tangkapan dilakukan hasil operasi JSJN bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

“Ketika serbuan, polis menahan kenderaan di lorong laluan tol itu, bagaimanapun suspek bertindak agresif dan tidak mahu keluar untuk pemeriksaan menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin untuk mengeluarkan suspek.

“Pemeriksaan di bonet belakang kenderaan itu menemui 75 kg serbuk disyaki dadah jenis syabu dalam 75 bungkusan yang diisi dalam empat guni putih dianggarkan RM2.4 juta.

“Suspek ditahan dan dibawa ke IPK Kedah jam 7 pagi untuk pemeriksaan lanjut dan didapati di bawah tempat duduk penumpang belakang sepucuk pistol warna hitam jenis Sig Sauer bersama 12 peluru hidup 9 mm serta beberapa bungkusan dadah dipercayai untuk kegunaan sendiri, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Adzli berkata, siasatan mendapati suspek diupah RM15,000 untuk menghantar dadah terbabit dan juga ditawarkan untuk membawa pistol dan peluru itu dari Kuala Perlis oleh seorang lelaki Siam dan dia mengaku memiliki pistol itu secara haram.

“Polis turut menyita sebuah kereta mewah jenis BMW X5 bernilai RM30,000 dan motosikal jenis Kawasaki ZR800 bernilai RM25,000 serta wang tunai RM500 ketika pemeriksaan di rumah suspek di Sungai Petani. Suspek direman tujuh hari di lokap IPD Kota Setar sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here