Kajang, Dis –
Polis berjaya melumpuhkan sindiket antarabangsa terbesar di negara ini yang didalangi warga Asia Timur selepas merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Disember lalu.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan enam suspek termasuk tiga wanita dalam Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan di sekitar Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan yang membawa rampasan cecair disyaki Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih MDMA seberat 207.74 kg.
Polis kemudian menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas serbuk kokain seberat 20.273 kg dan sebuk ketamin dengan berat 1.252 kg.
“Siasatan mendapati sindiket ini didalangi warga dari negara Asia Timur yang turut membawa masuk ahli kimia dan bahan prekusor. Mereka menggunakan koordinator dan warga tempatan untuk memproses dadah.
“Siasatan turut mendapati sindiket menyewa 14 premis termasuk empat kilang dengan sewaan sehingga RM10,000 sebulan untuk memproses dan menyimpan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Hussein berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion. Ia mampu merosakkan kira-kira 20.7 juta pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat memproses dadah sebelum mengedar bahan terlarang itu ke beberapa destinasi termasuk Hong Kong dan Australia.





















