Kuala Lumpur, Okt 14.
Polis Diraja Malaysia menahan dua lelaki kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja menerusi media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kedua-dua lelaki ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, tangkapan pertama membabitkan pengendali akaun Facebook ‘Muhammad Farhan’ iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di Gombak, Selangor, semalam.
Tangkapan kedua pula dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai pemilik akaun TikTok @azwanar90. Suspek ditahan di Balik Pulau, Pinang, hari ini. “Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan berhubung hantaran yang cenderung menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, suspek pertama direman tiga hari bermula hari ini sehingga 15Oktober ini, manakala suspek kedua direman empat hari bermula hari ini sehingga 16 Oktober ini.




















