Anetha Gunasekaran
Buli siber sememangnya merupakan isu yang semakin membimbangkan masyarakat hari ini, terutamanya dengan peningkatan penggunaan platform digital dan media sosial. Ketua Kaunsel Perundangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), L.S. Leonard, menyatakan bahawa masalah ini hanya boleh diatasi jika pengguna Internet mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa dalam talian.
MCMC memainkan peranan penting dalam menangani aduan berkaitan buli siber. Sekiranya MCMC menerima aduan tentang aktiviti buli siber atau penerbitan kandungan mudarat di laman sesawang atau platform dalam talian, mereka akan mengambil beberapa tindakan pentadbiran dan tindakan penguatkuasaan untuk memastikan isu tersebut ditangani dengan sewajarnya.
Antara langkah-langkah utama yang diambil oleh MCMC ialah memastikan kesahihan aduan tersebut dan menyiasat kewujudan kandungan mudarat dalam talian. Berdasarkan siasatan tersebut, MCMC boleh mengambil beberapa tindakan seperti meminta platform terlibat untuk menurunkan kandungan yang mudarat, menyekat akaun pengguna yang terlibat, atau mengambil tindakan undang-undang di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Seterusnya, MCMC juga boleh melaporkan kes-kes yang disyaki mempunyai unsur-unsur jenayah lain seperti ugutan, penyebaran maklumat peribadi dan ancaman fizikal yang boleh membahayakan mangsa, kepada pihak polis. Pihak polis kemudiannya akan menyiasat dan mempertimbangkan sama ada terdapat bukti yang mencukupi untuk memulakan tindakan undang-undang atau penguatkuasaan.
Berdasarkan hasil siasatan tersebut, pihak polis boleh mengambil tindakan yang wajar mengikut undang-undang Malaysia seperti memulakan pendakwaan jenayah di mahkamah. MCMC bersama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain sentiasa berusaha untuk melindungi hak dan keselamatan individu di alam siber, serta menjaga integriti ekosistem dalam talian.
Isu buli siber sememangnya semakin membimbangkan dan buat masa ini Seksyen 233 AKM 1998 boleh digunakan untuk menangani kes-kes sedemikian. Seksyen ini secara umumnya, digunakan untuk menangani kes-kes penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, untuk menangani komunikasi kandungan yang bersifat lucah; sumbang; palsu; mengancam; dan jelik yang dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati; menganiaya; mengugut; atau mengganggu. Walaupun peruntukan ini boleh digunakan untuk pendakwaan kes buli siber, pada masa kini, terdapat banyak jenis kes buli siber yang lebih rumit dan melibatkan pelbagai aspek kompleks yang sukar dicegah dengan hanya menggunakan satu peruntukan undang-undang.
Bagi memperkukuhkan lagi perlindungan terhadap mangsa buli siber, penggubalan atau pindaan undang-undang khusus yang lebih menyeluruh boleh dipertimbangkan. Ini termasuk menetapkan kesalahan-kesalahan yang dikategorikan sebagai buli siber dan menggariskan hukuman yang lebih berat bagi perbuatan buli siber yang menyebabkan trauma emosi, tekanan mental serta kecederaan kepada mangsa. Selain itu, pendidikan dan kesedaran mengenai kesan buli siber juga perlu ditingkatkan di kalangan masyarakat supaya pengguna Internet lebih bertanggungjawab, ujar LS.Leonard lagi.
Soalan : Mengikut undang-undang apa itu buli siber?
Jawapan : Secara amnya buli siber boleh dikatakan sebagai perbuatan atau tindakan mencipta serta berkongsi kandungan mudarat seperti kandungan-kandungan lucah, fitnah, palsu, mengancam atau jelik dengan tujuan untuk mengganggu, mengugut, memberi tekanan atau merosakkan reputasi seseorang dengan menggunakan perkhidmatan internet. Perbuatan ini bukan sahaja merosakkan mangsa secara sosial tetapi juga boleh menyebabkan kesan psikologi yang mendalam.
Pendek kata, buli siber adalah satu kesalahan jenayah mengikut undang-undang Malaysia. Di bawah seksyen 233 AKM 1998, pesalah boleh dihukum penjara maksimum selama setahun atau dikenakan denda maksimum sebanyak RM 50,000 atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, undang-undang ini turut memperuntukkan denda RM1,000 ringgit sehari jika kesalahan itu berterusan.
Soalan : Sebagai seorang peguam yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan, apakah pandangan anda terhadap peningkatan kes- kes buli siber kebelakangan ini?
Jawapan : Tindakan segera dalam aspek aduan dan penguatkuasaan undang-undang adalah sangat penting untuk mencegah kejadian yang tidak diingini. Semua pihak yang bertanggungjawab termasuk pengadu, orang awam dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang harus berperanan aktif dalam memastikan pematuhan undang-undang yang berkaitan bagi menangani perbuatan buli siber ini. Jika kita gagal menangani masalah ini sekarang, kita mungkin akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar pada masa akan datang. Oleh itu, pendekatan proaktif dan pencegahan adalah kunci untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Kandungan dalam talian mudah dicipta dan disebarkan, namun pengguna internet harus peka tentang undang-undang yang berkaitan, terutamanya mengenai cara penggunaan internet secara bertanggungjawab, hak privasi dan kesalahan-kesalahan penyebaran kandungan mudarat dalam talian. Kesedaran mengenai undang-undang ini penting untuk memastikan bahawa maklumat yang dikongsi adalah tepat dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa. Ini dapat membantu mengurangkan masalah seperti penyebaran berita palsu dan melindungi hak-hak individu di dunia maya.
Seseorang tidak harus memuat naik kandungan dalam talian tanpa mempertimbangkan kesannya. Setiap pengguna Internet mempunyai kewajipan moral dan tanggungjawab undang-undang untuk memastikan bahawa interaksi mereka di dunia maya adalah beradab dan tidak membahayakan orang lain. Ini termasuk menghormati hak orang lain, menyemak fakta sebelum berkongsi, dan menilai kesan jangka panjang dari apa yang mereka terbitkan. Selain itu, pihak penyedia perkhidmatan dalam talian serta platform-platform media sosial juga perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh mereka adalah selamat dan dikawal selia dengan baik bagi mengelakkan apa-apa jenayah. Dengan berbuat demikian, kita dapat mencipta persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua.
Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, penggunaan media sosial telah meningkat dengan ketara. Dulu, ramai yang tidak begitu arif dengan platform-platform media sosial, tetapi kini media sosial telah menjadi alat utama untuk berkomunikasi, berkongsi maklumat, dan medium bagi aktiviti politik dan sosial. Pertumbuhan teknologi komunikasi dalam talian yang pesat ini juga membawa cabaran baru, seperti penyebaran kandungan-kandungan mudarat dalam talian dan penularan jenayah-jenayah siber.
Mengikut LS.Leonard, selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat, kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah kunci untuk membanteras gejala buli siber di Malaysia. Dengan meningkatkan kesedaran dan memahami kesan negatif buli siber, kita dapat mencipta persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin bagi semua.
Untuk sebarang aduan kemudaratan dalam talian layari http://aduan.mcmc.gov.my/





















