Rampasan dadah termasuk kokain cecah RM3.2 juta di Nilai

Seremban, Feb-
Polis Negeri Sembilan membongkar operasi makmal haram memproses dadah hasil serbuan ke atas sebuah premis di Nilai, dekat sini, dengan kokain dianggar bernilai lebih RM400,000 dirampas.

Hasil serbuan, lima lelaki termasuk tiga warga asing berusia 27 hingga 38 tahun ditahan, manakala pelbagai peralatan dan cecair kimia yang disyaki untuk memproses dadah, selain wang tunai dan kereta mewah turut dirampas.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata kejayaan serbuan dilakukan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai.

“Hasil serbuan ini, kami merampas dadah dipercayai jenis kokain dengan anggaran berat 2.145 kilogram (kg) bernilai RM429,000.

“Polis turut menyita empat kenderaan, wang tunai bernilai RM66,830, pelbagai mata wang asing anggaran RM29,822.70, serta pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan bernilai RM477,773.

“Nilai rampasan aset dianggarkan RM2.8 juta, manakala nilai keseluruhan termasuk dadah berjumlah RM3.2 juta.

“Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai kesalahan jenayah dan dadah. Semua direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu hingga 24 Februari depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here