KUALA LUMPUR – Selepas kali terakhir akhir fenomena gerhana matahari Anulus (cincin) berlaku di Malaysia pada 21 tahun lepas, rakyat negara ini hari ini berpeluang menyaksikan keajaiban alam yang unik dengan jelas, khususnya di dua tempat – di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.
Tempoh gerhana berlaku bermula pukul 1.21 hingga 1.23 tengah hari di Tanjung Piai, manakala di Serian, fenomena astronomi itu berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 hingga 1.50 tengah hari.
Gerhana Matahari Anulus berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari, tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.
Seluruh negara dipercayai mengalami fenomena gerhana matahari separa yang bermula kira-kira pukul 11 pagi sehingga 4 petang.
Di Taman Negara Tanjung Piai, Johor, kira-kira 5,000 pengunjung menyaksikan peristiwa gerhana matahari anulus, selama dua minit.
Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari berkata kira-kira 120 teleskop disediakan pelbagai persatuan pengkaji astronomi, serta beberapa universiti awam untuk digunakan orang ramai, selain beberapa yang digunakan untuk kajian.
Fenomena gerhana matahari itu, dijangka berulang lagi di Malaysia pada 2042.
Di Serian, Sarawak, pengunjung terutamanya penduduk setempat, menjadi saksi berlakunya fenomena gerhana matahari Anulus, yang berlaku selama empat minit bermula pada 1.46 tengah hari di Dataran Piazza di sini, kira-kira 60 kilometer dari Kuching.
Kehadiran lebih 1,000 pengunjung di sini, yang tidak ingin melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri fenomena alam itu, nyata berbaloi apabila mereka menikmati setiap minit kejadian, yang akan muncul semula selepas dua dekad dari tarikh hari ini.
Kebanyakannya menikmati pemandangan menakjubkan itu menggunakan penuras khas (kaca mata khusus untuk melihat Gerhana Matahari) yang disediakan oleh pihak penganjur, Planetarium Negara yang menyediakan sebanyak 2,000 unit.
Ada juga yang datang dengan membawa teleskop peribadi, kerana minat yang mendalam mengenai astronomi.
Di ibu negara, orang ramai menyaksikan fenomena gerhana matahari Anulus secara separa penuh di pekarangan Planetarium Negara yang menganjurkan ‘Solarfest Malaysia 2019’, sejak Selasa.
Pegawai Sains Planetarium Negara yang juga penyelaras bagi program itu, Nurfazilah Mohamad Hanafiah berkata lebih 1,000 orang memenuhi pekarangan Planetarium Negara hari ini.