“Penyalahgunaan alkohol dikaitkan dengan keganasan rumah tangga, bahaya ketika memandu atau mengendali mesin dan bahaya kepada janin wanita hamil,” kata Perunding Pakar Psikiatri, Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari
KUALA LUMPUR –
Langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai risiko dan bahaya penyalahgunaan alkohol, kata para doktor .
Menurut Perunding Pakar Psikiatri, Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari kempen kesedaran perlu dimulakan di sekolah dan ia boleh dimasukkan ke dalam program amalan gaya hidup sihat.
“Penyalahgunaan alkohol dikaitkan dengan keganasan rumah tangga, bahaya ketika memandu atau mengendali mesin dan bahaya kepada janin wanita hamil,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara e-mel.
Beliau mengulas insiden keracunan alkohol terkini yang membunuh 36 orang di Malaysia, setakat 23 Sept.
Dr Muhammad berkata penilaian holistik terhadap mangsa diperlukan untuk menentukan sama ada mereka mempunyai apa-apa bentuk gangguan berkaitan alkohol seperti ketergantungan alkohol, penyalahgunaan alkohol, pola minum yang berbahaya dan juga peminum tegar minuman.
“Yang terbaik adalah berpantang daripada alkohol, tetapi jika ia diminum untuk sebab-sebab sosiokultur, ia mesti diambil dalam jumlah yang kecil.
“Lebih penting lagi, jangan minum arak murah kerana jumlah alkohol yang sebenar tidak diketahui,” katanya.
Beliau juga menekankan perlunya penguatkuasaan untuk memastikan minuman yang mengandungi alkohol di pasaran mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.