Kereta lawan arus rempuh empat motosikal, dua maut

Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi penunggang cedera parah selepas mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Jalan Thean Teik, Air Itam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berumur 58 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam itu.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 21 tahun cedera parah, dan berdasarkan maklumat awal, nahas berlaku berhampiran lampu isyarat, apabila pemandu kereta Proton Wira itu keluar dari satu simpang di kawasan berkenaan.

“Sebaik keluar dari simpang itu, kereta itu telah masuk ke laluan yang salah iaitu melawan arus sebelum merempuh empat buah motosikal dan beberapa buah kenderaan yang berada di laluan berkenaan,” katanya di sini malam tadi.

Nahas itu menyebabkan dua penunggang motosikal maut dan seorang lagi penunggang cedera parah manakala pemandu kereta berusia 20-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here