Empat sekeluarga maut dalam Kemalangan

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata mangsa yang maut ialah anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhri, 28, isterinya Nik Iedayu Nik Hassan, 30, dan bayi lelaki mereka Mohamad Faqih Irsyad berusia 16 bulan.

Turut maut adik Nik Iedayu iaitu Nik Ifieka, 28, manakala seorang lagi anak pasangan tersebut Mohamad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh.

“Kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini, awal pagi ini.

Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira  10.20 malam itu, sebuah treler muatan bahan binaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar telah terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan di lokasi kejadian.

“Kereta Proton Saga BLM yang dinaiki semua mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap muatan kenderaan berat itu,” katanya.

Menurutnya, dipercayai semasa kejadian Mohamad Faiz dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan di gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here