LHDN telah berjaya mengutip jumlah cukai langsung tertinggi RM145.110 bilion dalam tahun 2019

Sebanyak 286,428 pembayar cukai telah membuat pengakuan sukarela mengisytiharkan pendapatan menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dari Nov 2018 sehingga Sept 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata jumlah tersebut melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

“Siginifikan hubungan rapat antara LHDN dan rakan-rakan media juga terbukti apabila LHDN telah berjaya mengutip jumlah cukai langsung tertinggi dalam tahun 2019 sebanyak RM145.110 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM8.076 bilion atau 5.89 peratus berbanding rekod kutipan cukai pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Apresiasi Media 2020 di Sunway Putra Hotel, semalam.

Menurut Sabin rakan media telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang khususnya dalam melaporkan isu-isu percukaian negara dengan tepat dan berkesan.

“Dengan sasaran baharu kutipan cukai berjumlah RM154.676 bilion ditetapkan oleh kerajaan tahun ini, LHDN perlu sentiasa berada di hadapan dalam memastikan kesedaran cukai dapat ditingkatkan agar hasil negara kekal mampan dan seterusnya menjamin kesejahteraan setiap rakyat,” katanya

Sabin berkata sebanyak 12,746 laporan akhbar berkaitan LHDN telah dipaparkan oleh media merangkumi 8,408 media cetak, 862 media elektronik dan 3,476 media dalam talian sepanjang tahun 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here