Orang ramai masih ambil mudah- Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR: Masih ramai orang awam yang ingkar dan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam (18 Mac)  sehingga 31 Mac, termasuk keluar bersiar-siar di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata hasil sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah.

“Arahan kerajaan ini ialah untuk membendung penularan COVID-19, namun mereka tidak ambil berat, bersikap sambil lewa dengan menyatakan hanya keluar bersiar-siar, mahu membeli makanan seolah-olah ia tidak boleh didapati di kawasan mereka, mahu menghantar barang dan pelbagai alasan lain yang tidak munasabah.

Sekatan jalan raya turut dijalankan di kawasan Petaling Jaya, Selangor untuk mengawal pergerakan orang ramai dengan lebih tegas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan berterusan sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menyampaikan hebahan kepada penduduk dengan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid sekitar Cheras supaya berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang urusan penting.

“Rondaan anggota Unit Kereta Peronda juga dilakukan untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak berada di luar kawasan kediaman mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here