PROTON rekod jualan tertinggi suku pertama tahun 2020

Subang Jaya: PROTON mencatatkan peningkatan dalam jualan Syarikat iaitu sebanyak 20.4% pada suku pertama tahun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sebanyak 21,757 unit telah dijual dalam tiga bulan pertama tahun ini, di mana telah turut mencatatkan kenaikan pegangan pasaran Syarikat daripada 17.4% kepada 20.1% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).

Berbanding suku pertama tahun 2019, penyumbang utama jualan PROTON iaitu Saga, menunjukkan kenaikan sebanyak 36% dengan jumlah jualan sebanyak 8,824 unit, manakala jualan Iriz meningkat sebanyak 602% dengan jualan sebanyak 2,009 unit. Selain itu, Persona mencatat pertumbuhan 243% dengan jualan sebanyak 5,677 unit dan Exora pula meningkat 17% dengan jualan sebanyak 1,091 unit. Bagi Proton X70, meskipun terdapat penurunan sebanyak 48% iaitu dengan jualan sebanyak 4,145 unit, model tersebut kekal menjadi SUV terlaris di Malaysia pada suku pertama tahun ini.

Bagi bulan Mac, PROTON telah menjual sebanyak 3,277 buah kereta yang mana telah memperlihatkan penurunan sebanyak 41% berbanding Mac 2019 dan 67% berbanding Februari 2020. Syarikat menyifatkan penurunan yang dicatatkan adalah disebabkan penutupan kesemua pusat jualannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 dan dijangka turut menjejaskan jualan kereta secara drastik pada tahun ini.

“Meskipun Syarikat menunjukkan prestasi jualan yang kukuh pada bulan Januari dan Februari serta jauh lebih baik berbanding 2019, momentum jualan bergerak perlahan disebabkan oleh PKP. Namun begitu, keselamatan negara dan rakyat Malaysia perlu diutamakan, jadi PROTON menyokong tindakan dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

PROTON melihat 2020 sebagai tahun yang sangat mencabar apabila berakhirnya PKP, di mana syarikat-syarikat perlu berhadapan dengan keadaan perniagaan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Buat masa ini, PROTON meneruskan operasi Syarikat bersama kakitangannya yang perlu bekerja dari rumah, serta mendapat kebenaran daripada MITI untuk membenarkan kakitangan terpilih untuk ke kilang bagi menyelenggara fasiliti di kilang.

Syarikat menggunakan masa yang ada ini sebaiknya untuk merangka strategi seterusnya. Kami belajar melalui pelbagai cabaran. Dalam erti kata lain, oleh kerana sebelum ini PROTON berjaya untuk kembali berada di kedudukan yang lebih kukuh, kami bersedia menyahut cabaran yang mendatang. Melihatkan pada penambahbaikan yang kami kecapi sejak dua tahun lalu, saya yakin bahawa PROTON dapat mengatasi krisis ini di mana kami mengekalkan tumpuan kami iaitu matlamat jangka panjang Syarikat,” tambah Dr Li.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here