Amerika Latin dalam bahaya

Pihak berkuasa kesihatan antarabangsa bimbang penyebaran koronavirus baharu (Covid-19) masih meningkat di Brazil, Peru dan Chile.

“Jumlah kes baharu direkodkan Brazil minggu lalu yang tertinggi dalam tempoh tujuh hari sejak wabak ini bermula,” kata Carissa Etienne yang juga Pengarah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) berpangkalan di sini.

Menurutnya, Peru dan Chile turut merekodkan pertambahan jumlah pesakit mendadak sekali gus petunjuk sebaran virus masih menular di negara berkenaan.

PAHO bertindak sebagai pejabat wilayah bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah badan pemantau pandemik Covid-19 di Amerika Latin dan Caribbean.

Dengan 730,000 kes dan lebih 39,500 kematian akibat Covid-19 setakat 25 Mei lalu, Amerika Latin sudah menjangkaui jumlah kes direkodkan Eropah dan Amerika Syarikat.

Etienne menjangkakan kadar kematian akibat wabak itu di Brazil akan meningkat sehingga 1,020 kes sehari menjelang 22 Jun.

Katanya, tidak diragui lagi bahawa wilayah berkenaan kini pusat wabak pandemik, dan meminta negara terbabit terus berjuang menyekat penularan jangkitan.

PAHO juga mencadangkan kombinasi langkah penjarakan sosial, ujian dan penyediaan sistem kesihatan yang baik dilaksana untuk melawan koronavirus.

“Kita belajar daripada wilayah lain, langkah mana yang berjaya dan mana tidak, serta perlu terus menerapkan pengetahuan ini dalam konteks kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here