Escape, taman tema pertama beroperasi dalam tempoh PKPP

Taman Tema Escape (Escape) dekat Teluk Bahang menjadi taman tema pertama di negara ini yang memulakan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 Pembukaan semula taman tema tersebut pagi tadi turut dihadiri oleh Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin.

 Menurut Soon Hin, pembukaan Escape mampu manjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negara dan Pulau Pinang khasnya bagi memperkasakan semula ekonomi.

 Katanya lagi, berdasarkan penelitian terhadap syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) dikemukakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mendapati hanya taman tema air sahaja yang masih belum dibenarkan beroperasi.

 “Susulan itu, saya menulis surat kepada MKN untuk memastikan sama ada taman tema bukan berasaskan air boleh dibuka atau tidak.

 “Sebenarnya persediaan rapi telah dilakukan sebelum pembukaan ini dilakukan. Semasa pandemik (COVID-19) saya turut menghubungi pihak-pihak berkepentingan berkaitan industri pelancongan termasuk mengadakan lawatan tapak untuk melihat sendiri persediaan mereka.

“Dari situ saya dapati semua pihak terlibat dilihat bersedia termasuk menjaga dan menyelenggara lokasi walaupun aktiviti pelancongan dan sukan adalah dilarang.

 “Oleh itu, selepas mendapat kebenaran mereka boleh terus beroperasi mengikut SOP yang diluluskan Kerajaan Negeri melalui pengeluaran sijil khas,” ujar beliau kepada media semasa lawatan ke Escape Adventure Play pagi tadi.

 Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sim Leisure Group, Sim Choo Keng dan Presiden Persatuan Taman Tema dan Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA), Tan Sri Richard Koh.

Tambah Soon Hin, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berhasrat memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri ini secara lebih inovatif berasaskan alam semula jadi atau eko pelancongan.

 “Saya dapat melihat kecenderungan pelancong hari ini lebih kepada alam semula jadi, kepadatan rendah dan kawasan terbuka. Jadi, kita akan teroka lebih lagi bagi ciri-ciri tersebut.

 “Kita boleh promosikan ‘permata tersembunyi’ di Pulau Pinang seperti melihat unggas di Seberang Perai, kawasan semula jadi di Balik Pulau dan lain-lain,” jelas Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 Dala pada itu, Choo Keng menyatakan bahawa visi tersebut sememangnya cuba dilaksanakan oleh Escape sejak diasaskan beberapa tahun lalu.

“Setelah lama tinggal di rumah, melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, saya yakin ramai yang ingin keluar dan menikmati alam semula jadi dan berhibur.

 “Jadi Escape boleh menjadi destinasi percutian ideal dengan menyediakan kawasan perkhemahan untuk keluarga dengan pakej harga yang menarik.

 “Seperti mana umum tahu, Escape sememangnya sebuah taman tema yang berkait rapat dengan alam semula jadi digabung bersama nostalgia tersendiri,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here