Pekerja Amazon di Jerman mogok kerana jangkitan COVID-19

Para pekerja di enam tapak pusat logistik Amazon di Jerman akan mengadakan mogok pada Isnin (29 Jun) sebagai bantahan terhadap keselamatan mereka setelah beberapa kakitangan diuji positif bagi COVID-19, kata kesatuan pekerja Verdi.

Verdi menyatakan pada Ahad (28 Jun) bahawa mogok itu akan berlangsung sekurang-kurangnya 48 jam, menggunakan cogan kata ‘Pekerjaan yang baik dan sihat’, sebagai kritikan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kurang ketelusan oleh syarikat peruncit gergasi Amerika Syarikat itu setelah para pekerjanya diuji positif bagi jangkitan COVID-19 .

“Kami menerima maklumat bahawa sekurang-kurangnya 30 hingga 40 kakitangan dijangkiti,” kata wakil Verdi, Orhan Akman.

Amazon menghadapi pertikaian berlanjutan dengan kesatuan-kesatuan di Jerman berhubung isu gaji dan sekitaran yang lebih baik bagi para pekerja logistik, yang kerap mengadakan mogok sejak 2013.

Verdi menyatakan mogok itu akan menjejas tapak-tapak kerja Amazon di Leipzig, Bad Hersfeld, Rheinberg, Werne dan Koblenz. Ia menuduh Amazon mengutamakan keuntungan daripada keselamatan pekerjanya.

Amazon menolak tuduhan itu dalam satu kenyataan dan menyatakan bahawa setakat bulan Jun pihaknya sudah melaburkan AS$4 bilion (S$5.57) untuk langkah-langkah melindungi tenaga kerja dan pelanggannya di seluruh dunia dari risiko jangkitan COVID-19.

Di Jerman, pasaran terbesarnya di luar Amerika Syarikat, Amazon telah menempah 470 juta botol cecair pembasmi kuman, 21 juta pasang sarung tangan, 19 juta pelitup dan alat pelindung wajah yang lain serta 39 juta kotak tisu pembasmi kuman sejak Februari kata jurucakap Amazon di Jerman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here