Vigneswaran guna peluang bersara perjuang kedaulatan Raja-Raja Melayu

BEKAS Speaker Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran mahu menggunakan kesempatan sebagai pesara untuk berjuang mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, peluang yang ada sebagai pesara Yang di-Pertua (YDP) Dewan Negara adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Beliau dilaporkan mahu kerajaan memansuhkan pindaan pada 1993 yang kontroversi kerana menyekat kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Tegasnya, pindaan yang dilakukan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang berlaku pada pendapat saya, and I stand to be corrected (betulkan jika saya salah), ia adalah salah di sisi undang-undang Perlembagaan.

 “Saya sampaikan perkara ini kepada beberapa pemimpin untuk diperbetulkan semula dan lima tahun saya menunggu.

“Saya ambil keputusan untuk bangkitkan selepas bersara kerana adalah tidak wajar bagi saya untuk melakukannya ketika masih menyandang jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Sebagai YDP, saya tidak boleh memberi tekanan ke atas kerajaan, kerana itu saya membangkitkan hal ini pada hari terakhir bertugas.

“Ia bukan sekadar milik saya seorang, sebaliknya turut mewakili ramai pihak lain yang tidak memiliki peluang untuk bersuara.”

Dalam laporan itu, Vigneswaran turut memaklumkan kuasa Raja-Raja Melayu perlu dikembalikan selepas mendengar titah Sultan Johor.

Katanya, ketika menjadi Speaker, beliau berpeluang menghadiri Persidangan Speaker di Johor dan mendengar titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 “Apabila saya mendengar titah Tuanku, saya berpendapat kuasa Raja Raja Melayu ini sudah dirampas, dan apabila saya pulang ke Parlimen, saya beri arahan kepada kumpulan penyelidik dan wakil peribadi untuk menyorot kembali apa sebenarnya yang berlaku.

I stand to be corrected. Saya telah buat kajian, pembacaan, bercakap dengan pakar dan pengamal undang-undang tentang isu ini.

“Saya tidak bercakap dengan mana-mana Raja atau diberitahu untuk bercakap tentang perkara ini.  Ini adalah tanggungjawab. Perkara yang sebetulnya.

“Apa yang dilakukan oleh saya ini bukan bertujuan untuk mempromosi diri, mungkin juga ada pihak tidak akan suka dengan apa yang saya cakap ini.

“Tetapi apakan daya, tanggungjawab serta rasa cinta kepada negara ini jauh lebih tinggi dan tebal dalam sanubari saya.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini salah dari segi undang-undang, Perlembagaan. Ini adalah pencabulan sebenarnya,” jelasnya.

Tambah beliau, pindaan pada 1993 itu perlu dibangkitkan kembali kerana sebenarnya tidak mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here