Tengok kereta, baru letak harga

“Naik kereta apa?” Segelintir peniaga durian tepi jalan dikesan menjadikan kenderaan pelanggan yang singgah sebagai kayu pengukur meletakkan harga pada ‘raja buah’ yang dijual.

Tindakan itu dikatakan mendorong peniaga tidak meletakkan tanda harga walaupun mengetahui ia menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, mengakui ada peniaga durian dikesan mengambil kesempatan menjual pada harga berbeza mengikut jenis kenderaan pelanggan yang singgah untuk membeli.

“Harga durian akan naik dua hingga tiga kali ganda jika pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah, bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Bagi memastikan peniaga tamak tidak terus mengambil kesempatan, KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian tepi jalan di negeri ini terutama di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh yang rancak dengan aktiviti jualan.

“Kita akan mengenakan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 sekiranya peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi kesalahan menggunakan alat timbang tidak ditentusah, beliau berkata, kompaun RM1,000 bagi perseorangan dan perkongsian serta RM2,000 untuk syarikat dan perbadanan boleh dikenakan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1973.

Ahmad Fitri berkata, empat peniaga durian dikenakan kompaun RM4,000 sebelum ini kerana gagal mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang tidak ditentusah.

“Operasi Durian dilaksanakan sebelum ini sebanyak 72 pemeriksaan dilakukan di Rompin (12), Temerloh (15), Jerantut (15) dan Kuantan (30),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here