LRA Sungai Selangor henti tugas, 472,000 akaun pengguna terjejas

Sebanyak 290 kawasan meliputi 472,000 pelanggan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air bermula 14 Julai ini.

Ketua operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata ia susulan penyelenggaraan dan penggantian komponen Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang menyebabkan henti tugas selama empat hari.

“Sebanyak 48 peratus kawasan dijangka menerima bekalan pada 16 Julai dan baki kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 17 Julai, jam 5 petang,” kata Ir Abas Abdullah dalam sidang media di Bukit Kiara Equestrian semalam.

Beliau berkata kali terakhir LRA SSP3 diselanggara dua tahun lalu dan penambahbaikan bagi memastikan loji mampu beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

Ir Abas berkata Air Selangor akan menyediakan lapan pusat khidmat setempat, enam pili awam dan 91 lori tangki sepanjang tempoh tersebut.

“Air Selangor juga akan mengemas kini maklumat pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

“Pengguna digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here