MENTERI BESAR JOHOR MELAWAT TAPAK PROJEK JAMBATAN SUNGAI PULAI

Menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin

TANJUNG PELEPAS –

YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor hari ini melawat tapak projek Jambatan Sungai Pulai yang dijadualkan siap pada Oktober 2021.

Lawatan Menteri Besar Johor telah disambut oleh Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd / Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad. Turut hadir semasa lawatan tersebut adalah YB Mohd Solihan Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Johor, YB Dato’ Haji A. Rahim Haji Nin, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Salehuddin Hassan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Abdul Rahman Salleh, Pegawai Daerah Johor Bahru, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan projek.

Jambatan Sungai Pulai yang bernilai kira-kira RM700 juta ini merupakan projek kerjasama awam-swasta melibatkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Pulai serta lingkaran jalan yang menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin kini telah mencapai kemajuan sebanyak 34%.

Jambatan yang akan dilengkapi dengan laluan dua hala serta dua lorong sepanjang 7.5 kilometer ini mempunyai jarak pandang “navigational” setingggi 25 meter dan selebar 100 meter. Ia akan memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Tanjung Bin, Pontian.
Penyempurnaan jambatan ini kelak akan mengurangkan masa perjalanan kepada hanya 15 minit dari laluan asal yang mengambil masa selama satu jam. Secara tidak langsung ia akan mempercepatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di dua daerah ini seterusnya memberi kesan ekonomi yang positif di Gelang Patah dan Pontian.

Kapsyen gambar dari kiri ke kanan: Mohd Razin Ghazali, Ketua Pegawai Operasi Teknikal dan Kejuruteraan MMC Corporation Berhad, Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd / Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, YB Mohd Solihan Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Dato Samsolbari Jamali, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, dan Pembangunan Luar Bandar
Gan Seng Keong, Pengurus Besar Hartanah MMC Corporation Berhad, YB Dato’ Haji A. Rahim Haji Nin, Pegawai Kewangan Negeri Johor. Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd / Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad menerangkan projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai kepada YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor di tapak pembinaan Jambatan Sungai Pulai.

Di dalam ucapannya, YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor berpuasa hati dengan kemajuan terkini pembinaan jambatan ini. “Ia adalah bukti yang menunjukkan kerancakan pembangunan infrastruktur di Johor bagi meningkatkan lagi ekonomi dan menarik Foreign Direct Investment dan Domestic Direct Investment ke negeri ini. Apabila siap nanti, Jambatan Sungai Pulai akan mampu memacu perkembangan sosio-ekonomi dan pembangunan di kawasan sekitar sekitar seperti indusri pelancongan di Tanjung Piai,” kata YAB Datuk Haji Hasni.

Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd / Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad berkata, “Walaupun kita sedang berhadapan dengan situasi COVID-19, aktiviti pembinaan jambatan ini tetap berjalan seperti yang dijadualkan. Ianya tidak mungkin berjalan dengan lancar tanpa sokongan dari kerajaan dan pihak-pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hutan dan Jabatan Laut.

Seaport Worldwide Sdn Bhd merupakan penyokong utama pembinaan Jambatan Sungai Pulai dan pemaju pembangunan industri Tanjung Bin. MMC Engineering Sdn Bhd dengan rakan usaha sama CHEC Construction (M) Sdn Bhd adalah kontraktor utama bagi projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here