15 Cawangan Tesco Kini Dijana dengan Tenaga Solar

Tesco dan NESS menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa solar komersial terbesar di Malaysia

KUALA LUMPUR :

Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) dan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS), syarikat usaha sama PETRONAS dan NEFIN Group, telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) untuk tenaga solar di Malaysia. Fasa pertama PPA Tesco-NESS akan menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di ruang atas bumbung 15 cawangan Tesco di seluruh negara. Tesco-NESS PPA akan berjalan selama 20 tahun hingga 2040.

Setelah pemasangan selesai pada Oktober 2020, panel-panel solar PV ini akan secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera. Tenaga yang dihasilkan dari panel-panel solar PV juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama satu tahun.

“Pemasangan panel-panel solar PV di 15 dari 62 cawangan kami adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco. Dengan ini, kami akan dapat menjana tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui di kebanyakan cawangan kami, dan di dalam proses yang sama, mengurangkan pelepasan karbon kami. Ini adalah antara usaha berterusan kami untuk kelestarian alam sekitar, yang sudah pun termasuk mengukur dan menerbitkan data sisa makanan kami dan pengurangan penggunaan beg plastik sekali pakai di cawangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie.

“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan NESS dalam usaha pertama kami untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui kerana konsortium yang membentuk NESS telah membuktikan rekod prestasi individu dalam menyampaikan dan menyelenggara projek-projek besar seperti ini. Kami mengharapkan perkongsian yang panjang dan bermanfaat dengan mereka,” tambahnya.

NESS adalah kolaborasi antara PETRONAS melalui unit perniagaan New Energy yang memfokuskan pada penyediaan penyelesaian tenaga bersih yang berkesinambungan dan menjimatkan kos berterusan, manakala NEFIN Group pula merupakan kumpulan pemaju solar dan pengurusan aset yang terkenal.

Pengarah NESS, Dr Jay Mariyappan, yang juga Ketua PETRONAS New Energy, berkata: “Kami berbesar hati dianugerahkan projek solar pertama Tesco di Malaysia. Dengan kemampuan kolektif PETRONAS dan NEFIN, kami yakin bahawa kami akan dapat menyokong Tesco dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kita semua. Ini juga sejajar dengan hasrat kami untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga bersih yang terkemuka. ”

NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di kesemua 15 cawangan Tesco, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem. NESS telah melantik Solarvest sebagai kontraktor Kejuruteraan Perolehan Pembinaan (EPC) tempatan untuk projek ini.

Tesco-NESS PPA adalah sangat penting bagi Tesco dalam menyokong matlamat syarikat induknya, Tesco Group untuk menjadi perniagaan tanpa karbon menjelang 2050.

Cawangan-cawangan yang akan dilengkapi dengan panel-panel solar PV ialah Tesco Mergong, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Bukit Mertajam, Tesco Rawang, Tesco Ipoh, Tesco Station 18, Tesco Klang, Tesco Puchong, Tesco Bukit Puchong, Tesco Extra Seremban Jaya, Tesco Kulim, Tesco Stargate, Tesco Seberang Jaya, Tesco Jitra dan Tesco Kampar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here