Novel Harry Potter, koleksi Enid Blyton banyak dipinjam guna BooksFly2u

Novel fantasi Harry Potter karya J. K. Rowling dan buku kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton antara naskhah paling popular dipinjam melalui BooksFly2u.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Masturi mohammad berkata koleksi Geronimo karya Geronimo Stilton turut mendapat permintaan tinggi.

“Jumlah peminjam buku secara e-panggilan itu merekodkan lebih 100 pinjaman dalam tempoh kurang dua minggu.

“Kategori bukan fiksyen serta berbahasa Inggeris lebih menjadi pilihan peminjam berbanding kategori lain,” katanya.

Beliau berkata akses perkhidmatan yang mudah menggalakkan orang ramai termasuk pelajar sekolah rendah menggunakan BooksFly2u.

“Sejak dilancarkan minggu lalu kita lihat ramai peminjam buku menggunakan cara ini kerana ia mudah. Rekod peminjam banyak dari Petaling dan ramai ibu bapa membuat pinjaman untuk bacaan anak-anak mereka,” katanya.

Melalui BooksFly2u yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here