14 terbunuh dalam dua letupan di Sulu

Dua letupan telah menggegarkan sebuah bandar selatan Filipina dan membunuh sekurang-kurangnya 14 orang.

Kejadian itu turut mencederakan 75 orang.

Pegawai tentera mengatakan dua bom meletup dalam tempoh satu jam antara satu sama lain di Jolo, provinsi Sulu, pada hari Isnin.

Mereka mengesyaki pengeboman itu dilakukan oleh Kumpulan Abu Sayyaf.

Jurucakap Presiden Rodrigo Duterte mengecam serangan itu – serangan terburuk pada tahun ini.

“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan merangkumi mengenal pasti individu atau kumpulan di sebalik serangan mengerikan ini,” kata Harry Roque.

Tambahnya, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan tersebut.

Abu Sayyaf adalah salah satu kumpulan terkecil dan paling ganas di selatan Filipina, terkenal dengan aktiviti penculikan untuk tebusan dan kekejamannya, termasuk memenggal kepala.

Disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas, kumpulan itu telah berikrar setia kepada IS dan telah melakukan penculikan kedua-dua warga asing dan Filipina.

Pengeboman pada hari Isnin berlaku susulan penangkapan seorang pemimpin Abu Sayyaf di pulau selatan Mindanao pada awal bulan ini.

Pasukan keselamatan berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan balas.

Menurut tentera, letupan pertama berlaku pada waktu tengah hari, di sebuah jalan sibuk di Jolo, bandar raya Sulu.

Jeneral Corleto Vinluan berkata, alat letupan buatan yang dipasang pada sebuah motosikal meletup berhampiran sebuah trak tentera di luar pasar raya.

Ketika polis dan tentera turun ke tempat kejadian, letupan kedua meletus di jalan yang sama tidak lama kemudian.

“Seorang pengebom wanita berani mati meletupkan dirinya ketika seorang askar menghalangnya memasuki kawasan kawalan,” kata Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo, jurucakap tentera, kepada media tempatan.

Lapan anggota pasukan keselamatan dan enam orang awam terbunuh, sementara 27 anggota keselamatan dan 48 orang awam cedera dalam letupan itu, kata laporan.

Pengebom itu juga mati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here