Rokok seludup kini dijual secara terang-terangan

Penjualan rokok seludup secara terang-terangan tanpa ada cubaan untuk menyorok, membuktikan betapa teruk dan meluasnya pasaran gelap rokok di Malaysia.

Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit (FSGMAM), Hong Chee Meng berkata, rokok seludup merekodkan jumlah terbesar di pasaran negara ini, yang mana enam daripada 10 rokok yang dijual hari ini adalah produk pasaran gelap.

Menurut Hong, FSGMAM mewakili sebanyak 4,000 ahli yang dianggarkan memiliki 10,000 kedai runcit di seluruh negara menggesa Kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dan menyeluruh untuk membanteras permasalahan ini.

Lagipun, katanya, perniagaan kecil seperti peniaga kedai runcit, kedai milik pakcik dan makcik di kawasan kejiranan dan penjaja paling terjejas oleh pasaran rokok seludup ini.

”Permasalahan rokok seludup ini adalah satu isu yang telah menjadi terlalu lama dan kini merupakan masalah yang sangat besar di Malaysia.

“FSGMAM percaya kerajaan harus bertindak bagi menangani isu ini terutama di dalam situasi semasa, yang mana perniagaan sah sangat bergantung kepada kerajaan untuk pulih daripada keadaan ekonomi terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Asri Hamid yang menularkan video kontroversi mengenai kegiatan penjualan rokok seludup dan pusat judi haram di Bandar Baru Sungai Buloh, baru-baru ini.

Lantaran itu, tambah beliau, perubahan cukai dengan penguatkuasaan tegas adalah diperlukan bagi membanteras pasaran rokok seludup dan melindungi perniagaan sah daripada entiti jenayah.

Hong berkata, inisiatif oleh British American Tobacco Malaysia Berhad untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai bahaya rokok seludup dan mendapatkan rakyat Malaysia untuk berkongsi pendapat dan pemikiran mereka mengenai masalah ini adalah langkah tepat.

Ini kerana, ujarnya, kesedaran pengguna adalah senjata yang sangat berkuasa untuk menghentikan perluasan rokok seludup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here