Kontraktor KVDT2 keliru kontrak tamat

Kontraktor projek menaiktaraf kemudahan infrastruktur Trek Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) keliru dengan penamatan kontrak dan menyatakan tiada justifikasi perundangan atau fakta mengenai perkara itu.

Ketua Eksekutif Dhaya Maju-LTAT Mohamed Razeek Hussain menyangkal kenyataan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengenai projek itu dengan berkata, kementerian gagal menerangkan perkara itu dengan tepat.

Minggu lalu, Wee berkata kementerian akan membuka semula tender KVDT2 selepas mendapati kos projek itu jauh lebih rendah daripada apa dinyatakan sebelum ini.

Wee dan bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook bercanggah pendapat mengenai kos projek itu.

Dalam kenyataan hari ini, Razeek berkata Dhaya Maju-LTAT adalah kontraktor dilantik secara sah bagi projek itu dan menerima surat anugerah (LoA) asal pada 4 April 2018 bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Bila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, (surat) anugerah KVDT2 yang asal ditamatkan pada 19 Oktober 2018.

“Selepas mendapati tiada asas untuk menamatkan surat anugerah awal, kerajaan Pakatan Harapan pada 5 Julai 2019 bersetuju untuk melantik semula Dhaya Maju-LTAT melaksanakan projek KVDT2 dan pihak-pihak mengadakan perjanjian penyelesaian di mana kerajaan setuju untuk mengeluarkan surat anugerah baru,” katanya.

Sebaliknya, kata Razeek, Dhaya Maju-LTAT mengetepikan semua tuntutannya terhadap kerajaan berikutan penamatan yang salah.

Syarikat itu menerima LoA baru untuk meneruskan projek KVDT2 dengan jumlah kontrak lebih rendah yang diperoleh selepas beberapa siri rundingan dengan semua pemegang taruh dan pakar teknikal.

“Oleh itu, kami kecewa dan keliru dengan kenyataan menteri berdasarkan beberapa laporan mengenai kos projek yang tidak kami sedari,” katanya.

Razeek berkata, semua kerja sedang dipantau oleh perunding profesional dan tuntutan diperiksa serta disahkan sebelum ada kelulusan untuk pembayaran.

Katanya, KVDT2 adalah projek pengangkutan awam utama bagi Lembah Klang dan sebarang kelewatan disebabkan oleh pembukaan semula tender akan membawa kepada “masalah yang tidak dijangka” kepada orang ramai dan penumpang.

“Sehingga dan kecuali diberitahu secara formal, sebagai kontraktor yang bertanggungjawab, kami berhasrat untuk terus melaksanakan tanggungjawab kami, di bawah kontrak, untuk memastikan projek itu disiapkan tepat pada waktunya dan tanpa penangguhan.

“Kami tidak faham mengapa tiba-tiba tergesa-gesa untuk menamatkan kontrak,” katanya sambil menambah kerajaan perlu mempertimbangkan kesan itu terhadap ekonomi semasa pandemik Covid-19.

Razeek berkata, syarikat akan terus berhubung dengan kerajaan dan pemegang taruh bagi memastikan projek KVDT2 tidak dikompromi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here