Penjara Pudu – Masihkah kau ingat lagi

Generasi sekarang mungkin tidak peduli dan peka Bukit Bintang City Centre (BBC) milik Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA) sebenarnya dahulu adalah sebuah penjara yang amat digeruni.

Bagi mereka yang pernah menjadi penghuni setianya, apabila hidup di tahan di sini umpama mati dalam hidup ibarat mahligai terakhir memisahkan gelaran mereka sebagai penjenayah terpaksa akur mengakhiri hayat mereka di sini.

Di situlah letaknya penjara Pudu yang lebih sinonim dipanggil Pudu Jel, banyak menyembunyikan kisah di sebalik temboknya yang menyimpan seribu satu kenangan kepada penghuninya apatah lagi kepada mereka yang telah bertugas 24 jam tanpa henti menabur bakti tidak mengira siang dan malam banyak melakarkan pelbagai nostalgia.

Dibina pada Februari 1891, terletak di jalan Hang Tuah berhadapan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur asalnya dibina di atas tapak bekas tanah perkuburan Cina, telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 1895 dengan menggunakan banduan sebagai tenaga kerja.

Meremang bulu tengkuk bagi sesiapa pernah memasuki ruang dalamnya jika ingin tahu tanyalah kepada mereka yang pernah bertugas di dalamnya pastinya ada cerita yang mahu disampaikan apa yang pernah mereka alami.

Semasa penutupan penjara ini para wartawan dibenarkan masuk dan mengakui sendiri bahawa tempat ini tidak selesa dan gerun sehinggakan naik bulu roma, menyatakan rasa insaf dan tidak mahu menjadi penghuni penjara walaupun hanya sehari sahaja.

Tapak penjara ini seluas 8.9 hektar itu pernah di kelilingi lukisan mural sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter terpanjang di dunia, indah pada setiap inci tembok.

Mural ini dihasilkan pada tahun 1984 oleh seorang banduan bernama Khong Yen Chong dan telah dicatat dalam Guinness Book of Records sebagai mural terpanjang di dunia.

Dahulu suasana pemandangan di dalamnya begitu hening menerbitkan rasa seram kekal tersembunyi 1001 misteri boleh meruntun emosi apabila melewati setiap kawasan termasuk bilik hukumannya.

Kini ia telah tiada, rebah terpaksa akur pada arus pembangunan moden sudah dirobohkan untuk projek pembangunan BBC oleh UDA dan digantikan dengan penjara Sungai Buluh terletak 36 km dari bandar raya Kuala Lumpur.

Walaupun terselit dalam lipatan sejarah, pintu gerbangnya bercat putih masih utuh, gah berdiri pernah memisahkan dan menyekat ribuan penjenayah tegar dari dunia luar.

Walaupun telah tersembam tersungkur menyembah ke bumi namun pintu utamanya tetap utuh masih terpahat kekal tahun 1895, kesannya dapat dilihat dengan jelas dari atas menerusi laluan monorel ternyata terus lenyap dari pandangan.

Selepas penutupan penjara lama ini, orang awam dibenarkan oleh kerajaan melawatnya yang telah dijadikan galeri untuk dihayati dengan jelas suasananya dari mata kepala sendiri.

Bertugas di penjara ini amat berbeza dengan penjara lain, penulis sendiri pernah bertugas di sini sebagai wadar penjara pada tahun 1985.
Pertama kali di sini, memasuki ruang dalamnya pun rasa gementar apatah lagi membuat tugasan mengawal serta berhadapan dengan ribuan banduan dengan pelbagai kesalahan terutamanya yang melibatkan jenayah berat.

Namun dengan panduan, tunjuk ajar dan latihan singkat yang diberikan oleh pegawai di situ akhirnya perasaan gemuruh, gugup dan gementar lama-kelamaan dapat diatasi.

Begitu ia telah termaktub dalam lipatan sejarah tetap gah antara penjara tertua di Malaysia paling tersohor namanya terus segar di ingatan mereka yang pernah berada di dalamnya.

Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai mati di jerut tali gantung di situ akibat pelbagai kesalahan berat dari tahun 1960 sehingga operasinya ditutup secara rasminya pada 31 Oktober 1996.

Akta yang melibatkan hukuman mati ketika itu ialah Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, Kanun keseksaan (Akta 574), Akta Penculikan 1961, Akta Senjata 1960, Akta Angkatan Tentera 1972 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dengan hanya 240 bilik, bagaimana penjara bersejarah ini boleh menempatkan bilangan tertinggi seramai 6,550 banduan pada tahun 1985 sepatutnya hanya boleh memuatkan 2,000 banduan sahaja menyebabkan ada banduan yang mengambil kesempatan melarikan diri dari penjara itu.

Penulis menyaksikan sendiri empat banduan menjalani hukuman penjara seumur hidup dan enam kali sebatan rotan setelah didapati bersalah mengikut seksyen 4 Akta Senjata Api (Hukuman Tambahan) melarikan diri dari penjara ini ketika itu, mereka menjalankan kerja membersih pakaian dalam penjara.

Keempat – empat banduan itu ialah Safaai Othman, Lim Gaik Khong, Chong Yew Loy dan Sow Thiem Chai membuat cubaan memanjat pondok kawalan yang sedang dalam pengubahsuaian dan terus terjun dari tembok setinggi 5 meter itu.

Mereka menggunakan tuala untuk melapik kawat berduri dan terus memanjat pagar, salah seorang daripada banduan membaling pasir ke muka wadar yang sedang bertugas di situ.

Namun Chow Yat Sang patah kakinya ketika terjun dari tembok dan ditangkap semula oleh wadar-wadar yang mengejar banduan tersebut. Tiga daripada mereka menaiki motosikal yang dirampas daripada pengedar surat khabar yang lalu di situ menuju ke jalan Brunei, Kuala Lumpur.

Tahun 1985 juga menyaksikan kesesakan teruk berlaku di semua sel bilik dalam penjara ini yang padat memaksa mereka tidur secara bergilir-gilir sehinggakan ada yang bersuara di tengah malam meminta belas ihsan, “cikgu, tolong! kami tidak boleh tidur.”

Bayangkan bagaimana keadaan mereka seramai belasan orang sepatutnya untuk lima orang banduan sahaja, boleh duduk di dalam sebuah sel, keluasannya lebih kurang 5 x15 kaki yang panas sampai berpeluh badan, ada yang tidur kepalanya berhampiran tong najis.

Dalam sel bilik penjara ini tiada tandas atau jamban, setiap bilik dibekalkan tong najis kecil berwarna hitam sekiranya hendak membuang air besar dan setiap pagi mereka akan keluar dan wajib mengangkut tong najis di sel masing-masing untuk dibersihkan.

Setiap hari wadar penjara bertugas akan membuat rutin pemeriksaan khas dan membuka bilik pada jam 7.00 pagi, mahu tidak mahu terpaksa menghirup udara yang keluar dari bilik banduan amat kurang menyenangkan, rasa tidak tahan dengan bau badan mereka yang cukup menusuk hidung!.

Ketika itu, mereka masih lagi boleh menunaikan tanggungjawab mengawal banduan seramai itu walaupun pihak berkuasa penjara menghadapi masalah kekangan kekurangan anggota.

Tiada siapa tahu ianya memerlukan kepakaran tertentu dan luar bisa, bukan mudah untuk menghadapi situasi sukar seperti itu mengawal banduan jumlahnya yang sebesar itu.

Tabik! kepada mereka yang pernah bertugas di penjara ini, anda mampu bertahan menghadapi pelbaga rintangan, dugaan dan cabaran tersebut dengan begitu tabah sekali.

Mungkin kini ada di antara mereka yang sudah bersara namun semangat keberanian mereka patut dipuji, perlu diterapkan dan dihayati ke dalam jiwa setiap petugas penjara di seluruh tanahair.

Semenjak tahun 1891 telah menyaksikan pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis, kini ia terus sepi hanya tinggal sisa, dulunya sentiasa menyambut kedatangan penjenayah yang menerima hukuman dari seringan hukuman kepada hukuman berat.

Penjara ini pernah menempatkan dua tokoh politik terkenal yang terlibat dengan kes berprofil tinggi ketika itu.
Pada 1 Mac 1977, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun oleh mahkamah dipersalahkan atas tuduhan rasuah berkaitan dengan Bank Rakyat.
Namun selepas menjalani setengah daripada hukumannya di penjara ini beliau akhirnya dibebaskan pada tahun 1981.

Pada 6 Mac 1983 pula, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan,Mohamad Taha Talib.

Beliau kemudiannya mendapat perkenan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, dikenakan penjara seumur hidup dan dibebaskan lebih awal dari penjara ini pada 10 Julai 1991.

Penjara ini pernah mencatatkan sejarah hitam berikutan penawan dua tebusan, Doktor Pakar Kulit, Dr. Radzi Jaafar dan pembantunya Abdul Aziz Abdul Majid (kedua-duanya kini Allahyarham).

Segalanya bermula takkala pada pagi Jumaat, 17 Oktober 1986 ketika banduan sedang berada di klinik penjara menjalani rutin pemeriksaan kesihatan diketuai oleh Dr. Radzi turut dibantu oleh pembantunya Abdul Aziz.
Bunyi siren dibunyikan membelah kesunyian pagi dan menggemparkan suasana di penjara itu menandakan sesuatu telah terjadi.

Ketua gerombolan, Chua Chep Seng atau lebih dikenali sebagai Jimmy Chua, bekas inspektor polis di Singapura bersama-sama dengan 5 orang konconya iaitu Lam Hock Sung, Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Yap Chee Keong dan Phang Boon Ho.

Kesemua individu yang berada di klinik penjara tersebut dikejutkan serangan daripada 6 orang banduan itu dengan menggunakan objek tajam sebagai senjata.

Namun tragedi yang berlangsung selama enam hari berakhir itu selepas mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa

Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis DiRaja Malaysia seramai 12 orang berjaya menyelinap masuk tanpa disedari oleh Jimmy Chua dan konco-konconya akhirnya berjaya ditahan oleh pasukan UTK yang sememangnya pakar dalam situasi sebegini tanpa berlakunya pertumpahan darah.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke muka pengadilan pada 18 April 1987 dan dituduh di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Keenam-enam mereka kemudian dibuktikan bersalah dan akhirnya digantung mati pada 10 Oktober 1989.

Peristiwa ini telah menjadi tajuk utama semua akhbar dan saluran radio serta kaca televisyen ketika itu, orang awam tidak jemu menunggu perkembangan laporan peristiwa tersebut menunggu dengan tekun.
Penjara ini juga pernah menempatkan penjenayah terkemuka dan berbahaya seperti Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin dikategorikan sebagai penjenayah ganas di Malaysia yang melakukan pelbagai siri rompakan bersenjata sekitar tahun 1970an.

Akhirnya pada 11 Jun 1981 pada usia 28 tahun, Botak Chin menemui ajalnya dihukum gantung sampai mati
namun cuba membuat onar mencederakan beberapa orang wadar tidak lama sebelum menjalani hukuman tersebut, maka berakhirlah riwayat salah seorang penjenayah paling kejam dan licik di Malaysia.

Penulis sempat menemubual berkongsi pengalaman mereka yang pernah bertugas di penjara ini bagi merungkai secara terperinci apa yang tersirat dan tersurat di sebalik temboknya suatu ketika dahulu.

Sub Inspektor Penjara(B) Mohamad Amin Osman berkata, “penjara bersejarah ini terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung jumlah banduan yang semakin meningkat setelah lebih 100 tahun beroperasi, banduan-banduan dipindahkan dari situ ke penjara Sungai Buloh.

Mungkin juga di atas faktor ketidaksesuaian, seolah-olah semakin tidak relevan kerana perkembangan dan kepesatan bandar raya Kuala Lumpur yang pesat.

Banyak kejadian aneh berlaku kepada petugas penjara malah banduan juga biasanya terjadi di waktu malam, disakat dengan bayangan lembaga hitam berjalan di ruang legar sel penjara”, katanya ketika memulakan perbualan dengan penulis.

Dakwa Mohamad Amin, “kelibat lelaki dengan muka mengerikan berjalan di bahagian tengah penjara iaitu Blok Center – E, sehinggakan banduan yang ternampak lembaga tersebut kelu seribu bahasa pada mulanya menyangkakan ia adalah wadar yang meronda bila diamati sebaliknya bukan.
Saya mengalami sendiri ketika bertugas giliran malam di situ lebih kurang jam 10.00 malam dengan selamba saya naik tangga ke tingkat atas untuk membuat tugasan rondaan dan menjolok jam (servis recorder) tiba-tiba lampu di tangga terpadam, tidak peduli langsung sangkaan saya mungkin kawan-kawan bergurau tetapi di waktu itu saya hanya bertugas meronda sendirian.

Bila sampai ke tingkat tiga, lampu menyala semula tetapi saya tidak menghiraukan langsung dan turun semula ke bawah setelah selesai menjolok jam, agak menghairankan suis lampu tiada langsung di tangga dan tiada sesiapa pun di dalam blok”.

Menurutnya, “ketika diarah bertugas malam giliran kedua di antara jam 11.30 malam hingga 2.30 pagi di pintu utama, lebih kurang jam 12.00 tengah malam, tiba-tiba lori yang terletak di tengah-tengah pintu itu secara tiba tiba enjinnya berbunyi dan bergerak sejauh lima meter sebelum berhenti dengan sendiri.

Saya memeriksa lori berkenan, tidak menjumpai sesiapa pun dan lebih pelik lagi bagaimana enjinnya boleh dihidupkan sedangkan kuncinya masih tersimpan di dalam pejabat.

Saya merasa hairan dan pelik namun tidak sampai sebulan selepas daripada kejadian itu ada hukuman gantung dilaksanakan di bilik akhir penjara ini”.

Menurutnya lagi, “dalam kejadian lain pula , rakan saya diganggu makhluk halus ketika giliran berehat, kelibat orang menyelak kelambu menujukkan muka yang amat mengerikan sehinggakan dia ketika itu menjerit menggeletar ketakutan.

Kejadian selak kelambu itu melibatkan anggota bertugas malam di blok D , berehat di bengkel dobi yang menempatkan 10 buah katil semuanya siap dengan kelambu berwarna putih.

Kawasan di sini seringkali diganggu makhluk halus, dipercayai menjadi laluan mereka berhampiran bilik akhir (bilik gantung) .

Waktu saya bertugas malam membuat rondaan dan melintasi blok D yang menempatkan bilik gantung terdengar suara berbisik dalam bahasa Jepun hinggalah ia hilang dengan sendirinya mungkin kelibat tentera Jepun dahulu.

Dari cerita orang lama, kawasan itu pernah menempatkan dua orang tahanan jeneral Jepun perang dunia ke 2 yang telah dikenakan hukuman gantung atas kesalahan jenayah perang oleh pihak British”, katanya.

Tambahnya, “sekiranya berlaku pergaduhan di kalangan banduan secara individu mereka dikehendaki memaklumkan kepada pegawai penjara untuk bertarung di dalam gelanggang dengan kerelaan sendiri dan tiada unsur paksaan.

Gelanggang tinju akan dibuka pada hari Ahad untuk tontonan ribuan banduan sekiranya ada perlawanan tinju sesama mereka di Dataran Batu Rumah dalam penjara ini.
Menurut cerita yang disampaikan kepadanya, dataran ini adalah tempat banduan menjalani kerahan buruh hukuman pecah bongkah batu pada zaman pendudukan Jepun perang dunia ke 2 dahulu”.

Katanya lagi, “catuan (ration) untuk banduan Cina pula, pada setiap minggu diberikan menu makan daging babi manakala dapur bangsa Melayu dan India diasingkan tidak bercampur begitu juga dengan tray (bekas) makanan mereka.

Namun begitu, semua catuan yang tidak relevan telah dimansuhkan dan selepas tahun 1982 tiada pembekal menghantar daging babi ke penjara ini.

Itu adalah beberapa sedutan kisah di penjara ini saya sempat kongsikan antara kenangan yang mungkin tidak akan saya lupakan sepanjang berkhidmat selama 16 tahun berkampung di sini pada 1980 hingga 1996”, katanya.

Natijahnya, “penjara ini sudah tersembam ke bumi namun pelbagai kenangan tersemat di hati khususnya kepada kalangan para petugas dan bekas banduan, ingatan pastinya akan di bawa sehingga ke akhir hayat, sejarah penjara Pudu hakikatnya masih terpahat dan tidak akan hilang begitu saja”, katanya mengakhiri perbualan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here