Industri Berisiko Tidak Patut Berada Di Kawasan Muka Sauk – Pakar

Kerajaan negeri dicadangkan supaya mengadakan satu senarai industri berisiko dan tidak boleh berada di kawasan muka sauk (tempat mengambil air) supaya menjadi rujukan kepada semua agensi bagi mengelak pencemaran di kawasan sumber air.

Pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin berkata kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air perlu mewujudkan senarai tersebut supaya ia boleh dijadikan sebagai satu perintah untuk agensi-agensi negeri dan persekutuan.

“Objektif utama senarai itu adalah supaya tiada industri baharu (berisiko) yang masuk (bertapak di kawasan muka sauk).

Beliau turut menjelaskan kerajaan negeri sepatutnya merancang supaya membuat zon kawasan industri berkenaan di kawasan hilir dan berisiko rendah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata pihaknya telah mengutuskan surat kepada kerajaan dengan memberi dua cadangan bagi mengelakkan pencemaran air berulang.

“Satu, kita minta tambah seksyen (dalam undang-undang berkaitan pencemaran) supaya ganti rugi kita boleh tuntut dengan senang. Kalau pengguna, industri komersial dan sebagainya, apabila nak tuntut ganti rugi, kalau melalui proses undang-undang biasa, susah nak buktikan (di mahkamah) sebab kena buat (siasatan) secara individu.

“Keduanya, proses siasatan, mungkin yang buat salah seorang tetapi di belakangnya mungkin ada dalang lebih besar. Sebab itu mungkin kita lihat sekarang kerajaan tubuhkan satu unit khas untuk siasatan dengan kerjasama pihak tentera dan polis yang boleh membantu memperkasakan lagi siasatan alam sekitar,” katanya.

Penduduk di Lembah Klang berdepan masalah gangguan bekalan air bermula sejak Khamis lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah, namun kini kian pulih.

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kementeriannya akan menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar dalam masa terdekat bagi menangani isu pencemaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here