Seramai 1,088,711 Pengundi Biasa Layak Undi esok

Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, manakala 14,935 orang telah mengundi secara pos, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Isyak.

Ikmalrudin, dalam kenyataannya memaklumkan bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

Beliau berkata SPR juga meletakkan maklumat ‘masa keluar mengundi yang digalakkan’ pada kad pengundi. Bagaimanapun, jika pengundi tidak dapat hadir pada masa berkenaan, mereka boleh keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana berkemungkinan berpindah atau belum mengetahui pengundian, mereka disarankan agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya.

Ikmalrudin berkata pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkan kepada kerani pengundian di saluran bagi memudahkan untuk membuat semakan.

Sehubungan itu, SPR menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari berkenaan..

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Ia menyaksikan 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here