Tidak wajar heret istana negeri dalam perebutan kuasa?

SAYA tertarik membaca laporan yang menyebutkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin meminta diberi masa untuk memutuskan Ketua Menteri Baharu Sabah.

Sebelum pertemuan di Istana Negeri di Kota Kinabalu tersebut, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Sabah dikatakan gagal mencapai kata sepakat berhubung calon ketua menteri susulan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN Sabah.

Susulan itu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata beliau dan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor Bung akan mengadap Yang Di-Pertua Negeri untuk menyerahkan kepadanya memutuskan siapa ketua menteri baharu.

Di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik sebagai ketua menteri seorang ahli Dewan Undangan Negeri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu.

Tetapi apabila diminta untuk memilih antara dua calon dari gabungan yang memenangi PRN, ia seperti mengheret Yang di-Pertua Negeri dalam suatu keputusan politik. Orang politik seharusnya menyelesaikan masalah mereka semasa mereka.

Inilah pandangan Prof Dr Shamrahayu A Aziz yang beberapa hari lalu berkata bahawa hanya perdana menteri layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kepercayaan majoriti. Pandangan beliau telah mengundang pelbagai reaksi ahli politik dan peguam.

Beliau kemudian menulis agar istana tidak diheret dalam krisis perebutan kuasa.

Nah, apa pula kata Dr Shamrahayu apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu memilih antara dua calon ketua menteri?

Istana Negeri Sabah seharusnya juga tidak diheret dalam memilih antara dua calon dalam penentuan Ketua Menteri Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here