Mangsa banjir Kampung Long Sukang dapat perhatian segera

Kejadian banjir yang berlaku pada Ahad lepas di Kampung Long Sukang, Lawas ekoran hujan lebat telah mendapat perhatian dari Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Ba’kelalan.

Setiausaha PDP Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan Sam Laya telah hadir menziarahi penduduk yang terlibat dan menyampaikan sumbangan bantuan dari PDP bagi meringankan beban penduduk yang terjejas disebabkan banjir.

Dalam perbincangan itu, beliau telah memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada penduduk yang terjejas akibat banjir itu supaya cekal dalam menghadapi musibah itu.

“Kita harus bersabar atas kejadian yang berlaku ini. Saya percaya setiap kejadian itu ada hikmahnya.

“Saya memohon maaf tidak sempat balik ke kampung pada hari kejadian atas urusan kerja.

“Atas sebab itu, saya telah meminta beberapa wakil JKKK Kampung Long Sukong berjumpa di bandar Lawas bagi menyerahkan bantuan ini.

“Gunakanlah bantuan yang diberikan ini untuk membeli barangan keperluan dan sekaligus ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung penduduk,” katanya dalam satu majlis ringkas penyerahan sumbangan banjir di Lawas pada Isnin.

Kejadian banjir yang berlaku pada Ahad itu, telah menjejaskan penduduk di rumah 12 pintu yang didiami 50 orang penduduk.

Dalam pada itu, Sam Laya memberitahu, PDP Ba’kelalan akan membawa perkara ini ke pengetahuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lawas bagi mendapatkan bantuan dan keperluan lain yang berkaitan.

“PDP Ba’kelalan akan berjumpa dengan Pengerusi JPBD Lawas bagi membincangkan bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir di Kampung Long Sukang.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu kerana perubahan angin monsun telah menyebabkan hujan turun dengan lebat.

“Keadaan air pasang pula menyebabkan air sungai naik sehingga melimpahi jalan dan memasuki kawasan rumah,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Kampung Long Sukang Bina Balang, Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Sukang Pengiran Lakui dan beberapa Ahli Jawatankuasa JKKK Long Sukang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here