Sarawak tutup pintu kemasukan dari Sabah, Labuan

Sarawak tidak akan membenarkan kemasukan bukan penduduk Sarawak dari Sabah dan Labuan mulai 4 hingga 18 Oktober ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu merupakan strategi kerajaan negeri dalam menangani penularan COVID-19 ekoran peningkatan kes positif setiap hari di luar negeri ini.

Kata JPBN, tujuan garis panduan kemasukan diperketatkan ialah untuk melindungi negeri ini daripada terus menerima masuk kes import dari luar Sarawak.

“Bagaimanapun, hanya rakyat Sarawak (dari Sabah dan Labuan) dibenarkan masuk, namun perlu dikuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan akan melalui ujian RT-PCR COVID-19 pada hari kedua dan ke-10 dengan kos ditanggung kerajaan negeri.

“Untuk kakitangan perkhidmatan perlu dan penghantaran yang menggunakan jalan darat wajib mendapat surat khas daripada JPBN dan mengambil ujian RT-PCR COVID-19 sebelum memulakan tugas dan ujian seterusnya wajib diambil pada setiap hari ke-14.

“Malah, bagi kategori perkhidmatan minyak dan gas pula harus mengunapakai prosedur pengendalian standard (SOP) yang sedia ada,” jelas JPBN.

JPBN menegaskan, kesemua kemasukan ke Sarawak perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-health Declaration Form.

Manakala, jelas JPBN lagi untuk kemasukan dari Semenanjung Malaysia diwajibkan dikuarantin selama 14 hari.

“Yang bukan rakyat Sarawak, mereka wajib dikuarantin dan mengambil ujian RT-PCR COVID-19 sebanyak dua kali iaitu di hari kedua dan ke-10 dengan kos ditanggung sendiri.

“Begitu juga rakyat Sarawak yang pulang dari Semenanjung Malaysia juga diwajibkan untuk kuarantin selama 14 hari dengan dipasang gelang tangan dan wajib mengambil ujian RT-PCR COVID-19 pada hari kedua.

“Sekiranya keputusan negatif, mereka dibenarkan balik dan baki hari kuarantin disambung di rumah.

“Tetapi mereka dikehendaki ke klinik kesihatan berdekatan untuk mengambil ujian RT-PCR COVID-19 pada hari ke-10 dengan kos kuarantin dan ujian ditanggung kerajaan negeri,” ujar JPBN.

JPBN turut memberitahu, rakyat Sarawak yang bekerja untuk perkhidmatan perlu di Semenanjung Malaysia juga dibenarkan dengan mendapat kelulusan ketua jabatan masing-masing dan memuatnaik surat rasmi serta surat jemputan ke aplikasi Enter Sarawak.

“SOP ialah mereka akan di swab setiba di Sarawak serta dipasang gelang tangan dan akan dikuarantin di rumah sehingga keputusan ujian (swab) negatif.

“Untuk mereka yang mempunyai RT-PCR COVID-19 negatif (14 hari) juga perlu memuatnaik keputusan di dalam aplikasi Enter Sarawak,” jelas JPBN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here