Sultan titah rakyat duduk rumah, elak ke tempat sesak

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan rakyat duduk di rumah berikutan bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di negeri ini.

Khuatir dengan penduduk semakin leka dan alpa, Tuanku menyeru supaya mereka terus waspada dan tidak mengambil mudah kesemua amalan tatacara operasi piawai (SOP) selain menasihatkan tidak keluar ke lokasi sesak jika tiada keperluan.

“Individu yang mempunyai gejala atau baru pulang dari kawasan-kawasan berisiko perlu segera melakukan ujian saringan di hospital, seterusnya patuh dengan arahan kuarantin wajib.

“Kekalkan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter apabila berada di tempat awam, sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah serta menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri,” demikian titah Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, statistik terbaharu menunjukkan Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang kembali merekodkan kes positif Covid-19.

“Melihat perkembangan yang membimbangkan ini, setiap individu dari semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” titahnya lagi.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu positif Covid-19 paling tinggi iaitu 287 kes berbanding 277 pada 4 Jun lalu. Sementara Selangor pula mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak dua kali ganda iaitu 31 kes berbanding 13 semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here