Penduduk Kampung Teladas bimbang ancaman gajah liar

Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Teladas dekat Air Putih di sini diselubungi kebimbangan ekoran kehadiran sekumpulan gajah liar yang memasuki kawasan kampung itu sejak minggu lalu.

Selain berdepan ancaman keselamatan, kehadiran empat hingga 16 ekor gajah liar yang dipercayai datang dari Hutan Simpan Air Putih telah merosakkan kira-kira 30 hektar tanaman penduduk kampung itu.

Pengusaha kebun, Mohd Sabili Mohd Kassim berkata, tanaman kebun seperti pisang, kelapa mataq dan kelapa sawit yang diusahakan lebih 30 pekebun terjejas apabila dimusnahkan oleh kumpulan gajah liar itu.

Katanya, sebelum ini kawasan berkenaan sering dihampiri gajah liar dan belum berani memasuki kawasan kediaman penduduk.

Sebahagian daripada pokok kelapa sawit musnah akibat serangan gajah liar di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman sejak minggu lalu.

“Ancaman gajah liar itu telah berlarutan sejak dua tahun lalu. Sebelum ini, kawasan kebun sahaja yang sering menjadi mangsa, sekarang mereka sudah makin berani masuk ke kawasan kediaman penduduk kampung sehingga ke kawasan belakang rumah.

“Kita ada seramai 13 pengusaha yang tanam pisang. Memang pisang jadi makanan kegemaran gajah. Jadi kebun pisang yang diusahakan memang terancam dengan kehadiran gajah-gajah liar ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihak Perhilitan sebelum ini pernah menghalau kumpulan gajah itu ke kawasan hutan simpan.

“Kita akan siasat dan ambil tindakan berdasarkan keperluan semasa terutama dalam isu yang membabitkan keselamatan penduduk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here