Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Sabtu lepas, disahkan negatif koronavirus (Covid-19) selepas membuat ujian swab semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Abdul Hamid yang ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya telah menjalani sebanyak lapan kali ujian swab Covid-19 dan ujian pengesanan berkenaan disahkan negatif,” katanya ringkas.
Beliau berkata, sepanjang tempoh beliau menjalani kuarantin kendiri itu, Timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan pasukan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang turut hadir pada mesyuarat itu disahkan positif Covid-19 dan beliau kini dirawat di hospital di Seremban.