Anwar tunai janji serah dokumen sokongan lebih 120 MP

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan janji beliau untuk menyerahkan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong sokongan majoriti kepadanya.

“Sepertimana saya janjikan pada 23 September lalu, saya telah tunaikan hari ini dengan mempersembahkan kepada Agong dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan ahli Parlimen yang menyokong saya,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan meminta semua pihak memberi peluang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan tanggungjawab baginda.

Baginda, kata Anwar, dijangka akan memanggil ketua-ketua parti untuk mengesahkan dokumen beliau itu.

“Jumlah mencecah lebih 120 MP. Tapi Yang di-Pertuan Agong akan panggil ketua parti maka kita perlu sabar memberi ruang kepada Agong untuk memutuskan,” jelasnya.

Anwar berkata, beliau menyerahkan dokumen dalam bentuk akuan bersumpah (SD) dan juga surat dari ketua-ketua parti.

“Dokumen sahih itu saya berikan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam bentuk akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti,” ujarnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian dalam satu sidang media di Hotel Le Meridien selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Anwar turut menjelaskan, walaupun kerajaan yang bakal dibentuk majoritinya Melayu dan Bumiputera, rakyat bukan Bumiputera tidak akan diketepikan.

Sebelum ini, Malaysia Dateline difahamkan jumlah keseluruhan MP yang menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu mungkin lebih daripada 121 MP.

Pagi tadi, Anwar keluar dari Istana Negara menerusi Pintu 2 sekitar jam 11.30 pagi selepas kira-kira sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Suami kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu dilihat ceria apabila menurunkan tingkap kereta berwarna hitam jenis Jaguar dan melambai tangan sambil tersenyum kepada pemberita.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here